WASHINGTON: Calon presiden Republikan dan bekas Presiden Donald Trump telah mengundi pada Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) di negeri Florida semalam, lapor Agensi Anadolu.
Memakai topi merah dengan slogan “Make America Great Again”, Trump, bersama isterinya Melania, mengundi di pusat pengundian di Palm Beach berhampiran kediamannya.
Bercakap kepada pemberita selepas mengundi, Trump menyatakan bahawa beliau berasa dihormati melihat barisan panjang pengundi.
“Saya rasa sangat yakin. Anda tahu, kami memulakan hari ini dengan kelebihan besar, dan nampaknya Republikan hadir dalam jumlah besar. Jadi, kita akan lihat bagaimana hasilnya. Tetapi nampaknya mereka benar-benar hadir dalam jumlah besar,” kata Trump kepada pemberita.
Calon Republikan itu berkata beliau akan memantau keputusan pilihan raya dari Mar-a-Lago, resortnya yang juga Mercu Tanda Bersejarah Kebangsaan di Palm Beach, dan mendakwa beliau mempunyai “kelebihan ketara.”
Apabila ditanya sama ada beliau memberitahu penyokongnya supaya tidak bertindak ganas berkaitan keputusan pilihan raya, Trump berkata beliau tidak perlu memberitahu mereka tentang itu.
“Sudah tentu, tidak akan ada keganasan. Penyokong saya bukan orang yang ganas dan saya sudah tentu tidak mahu sebarang keganasan, tetapi saya tidak perlu memberitahu… mereka ini orang yang hebat,” katanya.
Trump turut berkata beliau akan menerima keputusan pilihan raya yang “adil.”
“Jika saya kalah dalam pilihan raya, jika ia pilihan raya yang adil, sayalah yang pertama mengakuinya. Dan saya rasa ia adil,” katanya.
Jutaan rakyat Amerika sedang mengundi untuk memilih antara Trump dan pesaing Demokratnya, Kamala Harris, bagi jawatan Presiden ke-47 AS.
Pengundi sedang membuang undi ketika Trump dan Harris bersaing sengit menuju ke hari pemilihan, semalam. Himpunan tinjauan di laman sesawang RealClearPolitics menunjukkan Harris mendahului dengan hanya 0.1 peratus di peringkat nasional selepas meraih sokongan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus memadamkan kelebihan Trump sebelum ini. -Bernama – Anadolu