MUKAH: Suasana awan mendung tidak menghalang sebuah keluarga di sini untuk melawat pusara di Perkuburan Islam Mukah kelmarin (16 Jun).
Mereka yang tiba di sana pada kira-kira jam 8.30 pagi berkenaan ialah keluarga Husin Meludin daripada Kampung Penipah Mukah.
Kehadiran mereka ialah berikutan kebenaran pihak berkuasa untuk orang ramai menziarahi kubur mulai hari Isnin dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut Husin arwah isterinya Seniah Man meninggal dunia tiga hari yang lalu(13 Jun) dan mereka lega apabila pihak berkuasa membenarkan orang untuk melawat perkuburan.
Adalah difahamkan jasad Seniah adalah merupakan yang terkini yang dikebumikan di Perkuburan Islam Mukah berkenaan.
Sementara itu, dua penjaga kubur, Putit Iban, 58 tahun dan Isa Zekeria Mohd Salleh, 50, ketika ditemui Utusan Sarawak menyatakan  keluarga Husin adalah yang pertama melawat kubur pada hari tersebut.
Oleh kerana pada ketika itu hujan seakan-akan turun mereka terus membawa kanopi ke pusara yang dilawati untuk memudahkan keluarga berkenaan untuk berdoa di sana.
Menurut mereka pihak keluarga berkenaan telah menghubungi mereka lebih awal sebelum datang untuk menziarahi ke tanah perkuburan yang berlokasi di belakang institut memandu itu.
Mereka percaya dalam beberapa hari ini lebih ramai lagi akan melawat pusara-pusara tersayang dan berharap SOP yang ditetapkan oleh kerajaan akan tetap dipatuhi.
Oleh Henry B Siyu