KUCHING: Kejadian lubang benam di Jalan Tun Jugah berhampiran jalan masuk ke CityOne Megamall di sini mungkin berpunca paip bawah tanah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata lubang benam itu agak cetek, berukuran lebih kurang 1.3 meter kali 1.7 meter dengan kedalaman 0.75 meter.
“Penemuan awal menunjukkan bahawa lubang benam itu mungkin berpunca daripada kebocoran dari paip bawah air hujan yang disambungkan ke tempat letak kereta kompleks beli-belah.
“Semasa pemeriksaan visual, pihak JKR mendapati bahan asas jalan di sekeliling kelihatan longgar dan lembap.
“JKR Srawak mengenal pasti sistem saliran bawah tanah di bawah laluan pejalan kaki bersebelahan dengan lubang benam dengan penutup lubang terletak kira-kira dua meter dari tapak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Uggah berkata pihak JKR sedang berusaha membaiki keadaan dan punca sebenar perkara itu masih dalam siasatan.
Katanya, pihak berkaitan sedang mengisi semula lubang benam dengan bahan yang sesuai untuk memulihkan permukaan dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Jelasnya lagi, selain daripada menutup lubang itu JKR akan terus memantau rapi kawasan lain sekiranya terdapat masalah serupa.
“Pembaikan permukaan selesai dalam masa beberapa jam selepas laporan itu.
“Satu taklimat telah diadakan hari ini bagi membentangkan penilaian awal dan penemuan menunjukkan bahawa lubang benam adalah agak cetek,” katanya.
Sebagai tindak balas kepada insiden ini, beliau telah mewajibkan penubuhan jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada pegawai kanan JKR Sarawak untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan menilai potensi kejadian lubang benam tambahan di kawasan sekitar.
Jawatankuasa penyiasatan, melalui Pusat Penyelidikan JKR Sarawak, akan menggunakan teknologi Ground Penetration Radar (GPR) untuk menjalankan siasatan terperinci dan memastikan tiada lubang benam tambahan di bawah jalan.
Uggah berkata analisis komprehensif ini dijadualkan selesai pada 15 November ini.