KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Kuching mencatatkan sejarah baharu setelah menerima Permit Penghunian (OP) rasmi daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Penyerahan OP tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut memegang portfolio sebagai Menteri bertanggungjawab bagi UNIFOR.
“Kompleks UNIFOR melambangkan semangat inklusiviti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjunjung tinggi kesatuan dalam kepelbagaian agama.
“Pembinaan Kompleks UNIFOR adalah satu langkah simbolik yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian agama di Sarawak, tetapi juga memperkukuh semangat kesatuan dan inklusiviti dalam kalangan masyarakat negeri ini.
“Kompleks ini mencerminkan keharmonian dan perpaduan rakyat Sarawak, di mana agama dan budaya yang berbeza diraikan di bawah satu bumbung.
“Ia ini dibina dengan matlamat menjadikannya sebagai ruang bagi pelbagai aktiviti yang mengukuhkan hubungan antara komuniti berlainan agama, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mempromosikan keharmonian.
“Keunikan kompleks ini terletak pada kemampuannya untuk menjadi tempat penyatuan bagi semua agama dan budaya, menandakan Sarawak sebagai contoh harmoni bagi seluruh negara,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di Kompleks UNIFOR di sini, kelmarin.
Kompleks tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden, termasuk bilik mesyuarat dua tingkat, dewan serbaguna yang mampu menampung 1,000 orang, ruang komersial, serta taman hijau atas bumbung yang mesra alam.
Reka bentuk ini bukan sahaja memberikan nilai estetika tetapi juga menekankan kelestarian dalam penggunaan ruang.
Sehubungan itu, Datuk Amar Douglas turut memuji kontraktor utama dan para perunding yang memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau yakin Kompleks UNIFOR bakal menjadi pusat komuniti yang dapat memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dan menyumbang kepada kestabilan sosial di negeri ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu lain.