LAWAS: Dua blok bangunan pentadbiran dan Gedung Ilmu SMK Lawas yang musnah kebakaran baru-baru ini akan dibangunkan semula melalui peruntukan khas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Persetujuan awal itu telah diperoleh melalui perjumpaan terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selepas menghadiri mesyuarat Ketua-ketua Menteri dan Menteri Besar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sehubungan itu perbincangan lanjut akan dilakukan dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Lawas untuk merancang reka bentuk pembangunan bahagian sekolah yang musnah terbakar itu.
“Saya sempat bertemu dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat Ketua Menteri dan Menteri Besar serta Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Lumpur baru-baru ini dan memaklumkan sendiri tentang kejadian kebakaran di SMK Lawas.
“Perdana Menteri bersetuju untuk memberi pertimbangan menyalurkan peruntukan khas bagi membangunkan bangunan sekolah yang musnah terbakar,” kata Awang Tengah sewaktu melakukan lawatan untuk melihat sendiri kesan kebakaran di SMK Lawas di sini.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong akan menyusul permohonan peruntukan khas kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan untuk tindakan segera.
Awang Tengah turut berkongsi kesedihan atas kemusnahan rekod-rekod lama SMK Lawas yang merupakan sekolah menengah pertama di daerah berkenaan dan juga sekolah menengah awal yang beliau hadiri sebelum meneruskan pendidikan ke SMK Limbang dan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di Miri.
Dua blok bangunan pentadbiran dan bangunan Gedung Ilmu SMK Lawas musnah dalam kebakaran pada 22 Oktober lalu berpunca daripada masalah elektrikal.
Mengiringi Awang Tengah melawat ke SMK Lawas ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong; Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak, Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Pengiran Abdul Kadir Pengiran Budin.
Oleh ADENG EDRUS