SIBU: Penduduk Kampung Datu Lama, Kampung Hilir, dan Kampung Datu Baru di sini digesa untuk memaklumkan kepada keluarga besar mereka agar segera memohon Projek Perumahan Spektra (RSP) Kemuyang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata pemohon yang berminat boleh hadir ke pejabat beliau untuk mengemukakan permohonan RSP berkenaan.
“Setakat ini, sebanyak 200 permohonan telah diterima. Daripada jumlah tersebut, hanya 156 layak, namun selepas saringan oleh Mutiara Mortgage, hanya 88 individu yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penutu Program Archiving Today’s Knowledge and Records for Tomorrow Accessibility and Browsing (AKRAB) di Dewan Persatuan Melayu Melanau Sibu semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut menjelaskan bahawa beberapa permohonan awal mungkin ditolak kerana isu rekod kewangan, seperti komitmen kewangan dan pinjaman individu.
Dr Annuar menekankan bahawa RSP Kemuyang khusus diperuntukkan bagi pengembangan tiga kampung tersebut sahaja.
“Oleh itu, sesiapa sahaja dari kampung-kampung ini yang mempunyai keluarga besar, tinggal bersama mertua, atau menyewa, digalakkan menghantar permohonan sebelum projek ini dibuka kepada pihak luar,” tambahnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perpustakaan Negeri, Japri Bujang Masli.
Oleh TARANI LANTING