LAWAS: Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong telah menyampaikan geran kerajaan kepada Persatuan Kedayan Lawas untuk penganjuran Pesta Makan Tahun Kedayan SeBorneo yang bermula 1 hingga 3 November ini.
Henry Sum memberitahu bahawa beliau sentiasa menyokong program kemasyarakatan yang menjurus kepada perpaduan kaum dan masyarakat.
“Perayaan Makan Tahun Kedayan ini merupakan aktiviti tahunan untuk masyarakat Kedayan di Lawas hingga ke Sibuti.
“Jadi sepanjang pesta itu, kita akan disaji dengan persembahan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai etnik di Lawas yang bukan sahaja untuk satu kaum,” katanya pada majlis penyampaian geran kepada Persatuan Kedayan Lawas di Majlis Daerah Lawas, semalam.
Beliau juga mahu agar perayaan seperti ini dapat diselaras dengan lebih teratur dan sistematik di bawah Pejabat Daerah atau Pejabat Residen.
“Ini merupakan satu program tahunan dan perlu rasanya kita tetapkan kalendar untuk memastikan program seperti Makan Tahun Kedayan, Pesta Lun Bawang dan Pesta Lumba Rakit di Long Tengoa itu dapat diselaras dengan baik.
“Penetapan kalendar ini adalah untuk memudahkan usaha mempromosi pelbagai program menarik di Lawas dan memberi ruang kepada pelawat merancang masa untuk datang,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Kedayan Lawas, Haris Majid mengucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan berterusan daripada Ahli Parlimen Lawas.
Katanya, Henry Sum memang amat dekat dengan semua kaum dan bukan sekadar masyarakat Kedayan tetapi melayan semua kaum dengan adil dan saksama dari segi projek mahupun program kemasyarakatan.
Hadir sama ialah Temenggong Rosli Majid dan ketua kaum daerah Lawas.
Oleh ADENG EDRUS