SARIKEI: Pendidikan adalah tunjang utama dalam usaha melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing untuk menjadi pelapis negara yang berkualiti.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata dunia pendidikan kini juga telah beranjak ke era pendidikan digital.
“Maka, cabaran era pendidikan digital memerlukan kerjasama semua pihak supaya dapat mewujudkan satu ekosistem pendidikan digital yang mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berkemahiran dalam menghadapi cabaran dunia digital.
“Oleh itu, semua pendidik harus menguasai penggunaan peralatan digital dan teknologi digital di dalam bilik darjah supaya dapat mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik untuk murid,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan dan makan malam Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, malam tadi.
Katanya, pendidikan dan sukan tidak dapat dipisahkan.
“Program 1 Murid 1 Sukan melahirkan generasi yang sihat, cergas, dan seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.
“Justeru, pada hari yang berbahagia ini, sukacita saya menyeru kepada semua warga pendidik Sarawak agar pesta PSKPP ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan bakat dalam bidang sukan dan kebudayaan, malah sebagai medan memperkukuh kemahiran sukan dan kebudayaan.
“Sesungguhnya akal yang sihat adalah berpunca daripada badan yang cergas. Kata-kata ini membuktikan bahawa betapa pentingnya aturan hidup ini disulami dengan aktiviti sukan yang akan mengharmonikan setiap perjalanan hidup seseorang itu di samping menjalin persahabatan sesama peserta,” katanya.
Beliau berkata ini membuktikan bahawa bersukan bukan aktiviti remeh tetapi mampu memberi kepuasan bekerja agar lebih fokus dan kreatif dalam persekitaran yang ceria.
Tiong Sii turut mengumumkan sumbangan RM50,000 untuk PSKPP Cawangan Sarikei.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad selaku wakil Pengarah Pendidikan Sarawak;,Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung, Dr. Cindy Wong Chyee Chen selaku wakil Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Pegawai Pendidikan Daerah Julau, Dali Rain, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad dan Pengetua SMK St Anthony, Liong Shou Chuan.
Oleh Earl Anek