SIBU: Seorang wanita berputih mata apabila beg bimbit mengandungi wang tunai RM301,231 dilarikan dua suspek menaiki motosikal yang memecahkan cermin keretanya di tempat parkir Jalan Kampung Nyabor, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian itu ada kira-kira jam 11.10 pagi.
“Kejadian tersebut telah dilakukan oleh dua orang suspek yang menaiki motosikal, dan seorang suspek telah memecahkan cermin kereta pemandu dan mencuri beg milik mangsa.
“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan motosikal bersama rakannya yang menunggu di bahu jalan,” katanya menerusi siaran media, sebentar tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah diekori sejak keluar dari bank setelah mengeluarkan wang sambil membimbit beg berisi wang tunai.
“Apabila mangsa meletakkan kenderaannya di tempat parkir, suspek telah bertindak memecahkan cermin tingkap kereta sebelah pemandu dan mencuri beg tersebut yang diletakkan di tempat duduk bersebelahan,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dibuat berdasarkan kepada rakaman ‘dashcam’ kenderaaan mangsa.
“Pihak polis menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati sewaktu berurusan di bank dan tidak meletakkan barang berharga di tempat yang mudah dicapai agar ruang dan peluang untuk kejadian seperti ini tidak berlaku,” katanya.
Zulkipli berkata, sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau
terus ke pegawai penyiasat kes, Insp Muhd Syahmi Zahar di talian 011-23148321.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan. Sekiranya didapati bersalah, pesalah boleh dihukum penjara,atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.