SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) akan memperkenalkan vaksin terkini JN.1 Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan JN.1 Moderna/Spikevax mulai Isnin ini berikutan saranan Jawatankuasa Pakar Pengimunan (ECI) bagi tahun 2024/2025.
MOH berkata, vaksinasi itu sangat digalakkan untuk golongan yang berisiko tinggi mengalami COVID-19 yang teruk, termasuk warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.
“Vaksin COVID-19 terkini itu memberikan tindak balas imun yang lebih kuat terhadap strain terkini dan yang akan datang, berbanding versi terdahulu, sekali gus memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap COVID-19.
“Profil keselamatan vaksin terkini ini juga setanding dengan versi terdahulu,” kata MOH dalam satu kenyataan.
ECI, sebuah jawatankuasa tetap yang memberikan nasihat mengenai pengimunan yang disyorkan di peringkat kebangsaan untuk kanak-kanak dan orang dewasa, mengesyorkan bahawa individu yang berisiko tinggi mengalami COVID-19 teruk perlu menerima dos awal (jika belum divaksinasi) dan dos tambahan vaksin, kerana mereka akan mendapat manfaat yang paling besar daripada perlindungan tambahan ini.
Individu yang disyorkan menerima vaksin COVID-19 pada tahun 2024/2025, termasuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas, individu yang mempunyai masalah kesihatan berusia enam bulan ke atas serta penghuni di pusat jagaan warga emas.
Petugas kesihatan dan mereka yang tinggal atau bekerja bersama individu yang mempunyai masalah kesihatan juga digalakkan untuk mempertimbangkan menerima vaksin ini, manakala individu lain yang berusia enam bulan ke atas yang ingin mendapatkan vaksin boleh terus berbuat demikian.
MOH berkata, vaksinasi COVID-19 terus diberikan secara percuma kepada semua individu yang layak di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.
Kementerian itu turut menggalakkan orang ramai untuk memastikan vaksinasi mereka sentiasa dikemas kini berdasarkan saranan terkini memandangkan gelombang COVID-19 akan terus berlaku dari semasa ke semasa dan boleh menyebabkan penyakit teruk dalam kalangan mereka yang lebih tua atau mempunyai masalah kesihatan. – Bernama.