KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) mengukuhkan komitmennya terhadap keselamatan jalan raya menerusi pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya berhampiran Depoh Rembus di sepanjang Laluan Biru Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Kempen tersebut diadakan semalam dengan kerjasama kontraktor Depot Rembus AIU JV—sebuah usaha sama antara Azam Sehasrat Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd, dan Unique Deco Sdn Bhd—bertujuan mengukuhkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya dan pekerja pembinaan di sekitar tapak projek KUTS.
Inisiatif ini disokong oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sarawak, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Pejabat Daerah Samarahan, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, dan IPD Samarahan.
Fokus utama kempen ini adalah mempromosikan pematuhan kepada peraturan lalu lintas, protokol keselamatan, dan papan tanda, terutamanya di kawasan pembinaan yang mempunyai trafik tinggi.
Kempen ini menekankan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas, garis panduan keselamatan dan papan tanda, terutamanya berhampiran tapak pembinaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa menekankan usaha berterusan Sarawak Metro untuk meningkatkan amalan keselamatan jalan raya semasa projek KUTS berjalan.
“Sarawak Metro akan terus menggalakkan tabiat keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya, terutamanya mereka yang melalui jajaran projek KUTS kami,” katanya sambil mengulangi kepentingannya mematuhi peraturan lalu lintas dan semua papan tanda keselamatan jalan raya dan langkah-langkah yang diletakkan berhampiran tapak pembinaan.
Beliau menambah kerjasama dengan kontraktor dan agensi berkaitan adalah penting dalam usaha keselamatan jalan raya yang lebih luas oleh Sarawak Metro.
“Kami sedang memperhebatkan inisiatif keselamatan jalan raya kami apabila projek KUTS semakin mendapat momentum. Kempen hari ini menunjukkan komitmen kami, disokong oleh kontraktor dan agensi rakan kongsi kami, untuk memupuk budaya keselamatan jalan raya yang kukuh,” jelas Ts. Mazli.