KUCHING: Ekspo ‘Sape Serenity: Rhythm That Unites’ menyediakan platform kepada orang ramai untuk mendalami seni alat muzik tradisional Orang Ulu, sape.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK), Danison Manium berkata, ekspo tiga hari itu menyasarkan pengunjung seramai 2,000 hingga 3,000 orang.
“Ekspo ini mencerminkan komitmen kita untuk mengangkat martabat alat muzik tradisional Orang Ulu yang kurang dikenali masyarakat bandar seperti sape, selingut dan jatung utang.
“Menerusi ekspo ini, mereka berpeluang untuk menyaksikan persembahan daripada pemain sape yang terdiri daripada anak muda dan juga pemain sape berpengalaman.
“Para pengunjung juga berpeluang mempelajari sejarah dan perkara berkaitan instrumen muzik tradisional menerusi bengkel yang dilaksanakan sempena ekspo ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa ekspo ‘Sape Serenity: Rhythm That Unites’ di pusat beli-belah Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata, ekspo yang turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu melibatkan beberapa pemain sape ikonik seperti Mathew Ngau, Lian Balan, Jimpau Balan dan Ezra Tekola.
“Mereka akan mengadakan bengkel sempena ekspo ini yang terbuka kepada orang awam yang hadir. Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti jualan produk tempatan dari para usahawan tempatan, aktiviti mewarna bagi kanak-kanak dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Ekspo itu berlangsung hari ini (25 Oktober) hingga 27 Oktober bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari dengan pelbagai tentatif program.
Oleh Rynna Sha’erra