KUCHING: Sebuah kenderaan milik Jabatan Imigresen terbakar di Pejabat Imigresen, Jalan Pending di sini, awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada 4.27 pagi.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dengan kekuatan anggota seramai enam orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi pemadaman.
”Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah kenderaan Jabatan Imigresen yang diparkir sebelah bangunan pejabat telah terbakar 100 peratus.
”Kemudian, PKO melakukan pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula (hosereel) dua nozel sumber air dari pam jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa manakala api berjaya dikawal dari merebak ke kenderaan lain dan dipadam sepenuhnya.