BERLIN: Tiga tangan robot yang dicipta khusus untuk meniru gaya konduktor orkestra manusia, ditampilkan pertama kali pada sebuah acara persembahan di Dresden, Jerman, hujung minggu lalu.
Robot itu, yang terdiri daripada tiga struktur berasingan seperti tangan yang membawa baton – tak ubah seperti pedang bercahaya dalam filem Star Wars – mengendalikan pemuzik dari orkestra Dresdner Sinfoniker dalam dua persembahan terbabit.
Robot itu dilatih untuk mengenali masa rentak dan dinamik, dengan tangan yang berbeza dapat bergerak secara bebas antara satu sama lain.
Keupayaan ini dapat disaksikan dalam persembahan Semiconductor’s Masterpiece, sebuah karya komposer dan pemain piano, Andreas Gundlach untuk orkestra Dresdner Sinfoniker.
Robot itu dapat menggunakan tiga tangannya untuk membimbing tiga bahagian orkestra secara berasingan dengan cara yang tidak mungkin dilakukan seorang konduktor manusia.
Gundlach berkata, penciptaan robot itu diilhamkan saintis di Universiti Teknikal Dresden yang membangunkan Kobot iaitu robot kolaboratif yang tidak bertujuan untuk menggantikan manusia tetapi untuk bekerja dengan mereka.
Katanya, proses membangunkan dan melatih robot konduktor dengan kerjasama Universiti Teknikal Dresden, mengambil masa dua tahun.
“Proses melatih robot membuat pergerakan yang diperlukan, memerlukan teknik baharu yang menunjukkan betapa hebatnya ciptaan manusia.
“Kesabaran tinggi diperlukan untuk mengajar mesin pergerakan lengan estetik yang boleh diambil dengan baik oleh orkestra,” katanya.
Dua daripada tangan robot itu turut mengendalikan pemuzik menerusi persembahan perdana #kreuzknoten oleh Wieland Reissmann, satu lagi karya membabitkan instrumen dimainkan serentak tapi pada tempo berbeza. – AFP