LONDON: Para pengunjung kini berpeluang menikmati jamuan mewah abad ke-18 di bilik makan kegemaran Raja Charles di Dumfries House, Scotland.
Charles sering menikmati makan malam di Bilik Makan Merah Jambu semasa menginap di rumah agam di Ayrshire, Scotland.
Kini yayasannya, The King’s Foundation, menawarkan pengalaman makan malam peribadi, yang orang ramai berpeluang menikmati tiga hidangan, autentik dari zaman 1700-an, yang disajikan oleh pelayan tradisional, di bilik diraja itu, menurut laporan PA Media.
Bilik berwarna merah jambu lembut itu adalah yang paling terpelihara di rumah agam berkenaan, yang diselamatkan untuk negara pada 2007 oleh konsortium yang dipimpin oleh Charles ketika beliau masih bergelar Putera Wales.
Raja Charles amat menyukai hiasan plaster rococo berwarna merah jambu pada dinding dan siling bilik itu, yang diilhamkan oleh runtuhan Rom di Palmyra, Syria.
Para tetamu akan menikmati sajian di meja raja – tetapi bukan di hadapan baginda – di bawah candelier bunga kaca Murano seberat 35kg, yang disusun semula dengan teliti selepas ditemukan di ruang bawah tanah lebih 100 keping hampir 20 tahun lepas.
Menu akan berasaskan hidangan abad ke-18, seperti salmon rebus, sup ikan, dan roti manchet untuk pembuka selera, diikuti dengan daging rusa panggang dan daging lembu, kentang parmentier dengan sos juniper, serta pencuci mulut seperti syllabub lemon dan pistachio, puding roti dan mentega, serta trifle epal dan badam.
Evan Samson, yang mengetuai pasukan hadapan di Dumfries House, berkata: “Bagi sebilangan tetamu terpilih, pengalaman menjamu selera abad ke-18 akan autentik dengan suasana 1700-an, termasuk perkhidmatan pelayan tradisional – termasuk hidangan yang disajikan dalam gaya ‘keluarga’ – serta menu yang dikaji dan disediakan oleh cef kami, mencerminkan fesyen kulinari yang tipikal di rumah ladang pada zaman itu.”
Pengalaman makan malam bercahayakan lilin ini ditawarkan pada tarikh-tarikh tertentu dan berharga dari £375 (AS$490) seorang.
Asal usul bilik mewah ini dijelaskan di laman web Yayasan itu.
“Ruang makan adalah pusat kehidupan sosial pada abad ke-18, jadi sejak awal lagi, ia dihias lebih mewah daripada bilik lain di rumah itu,” katanya.
Pengalaman makan malam eksklusif itu mengikuti acara serupa di bekas kediaman Ibu Ratu, Castle of Mey.
Pada musim panas lalu, para tetamu dijemput untuk makan di meja yang digunakan oleh Raja dan mendiang Ratu Elizabeth II, serta melawat taman di Castle of Mey.
Juga ditawarkan dari Ogos hingga Oktober tahun hadapan adalah Makan Tengah Hari Hasil Tuaian di Taman Berpagar Queen Elizabeth II di ladang itu, dengan harga £105 seorang.
Para tetamu akan dihidangkan hasil tanaman yang ditanam di taman pendidikan, dengan hidangan seperti ikan kod goreng dengan puri bawang dan artichoke, diikuti oleh crumble epal dan aiskrim.
Dumfries House berhampiran Cumnock merupakan ibu pejabat The King’s Foundation, yang diasaskan oleh Charles untuk melatih generasi seterusnya dalam kemahiran kraf – termasuk dalam bidang fesyen dan tekstil – menggunakan teknik warisan yang penting bagi banyak industri tradisional di UK.
Hasil daripada pengalaman ini akan digunakan untuk menyokong kerja-kerja amal yayasan itu, yang menyediakan kursus pendidikan praktikal kepada lebih 15,000 pelajar setiap tahun.
Maklumat lanjut boleh didapati di dumfries-house.org.uk, termasuk penginapan di Dumfries House Lodge, yang terletak beberapa ratus meter dari rumah utama Dumfries House.
— BERNAMA-PA Media/dpa