BINTULU: Pembinaan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Bintulu yang sedang berjalan dijangka menjadi pusat kedua seumpamanya di Sarawak selepas Kuching.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat itu merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan negeri untuk meningkatkan sokongan kepada komuniti yang memerlukan.
Ini termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma dan kemudahan untuk aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
Menurutnya, lokasi strategik dan persekitaran yang baik akan menjadikan CSSC Bintulu sebagai salah satu pusat sosial komuniti terbaik di negeri ini.
“Sebelah bangunan tempat transit gelandangan (TTG) nanti adalah CSSC seperti yang kita wujudkan di Kuching.
“Bintulu akan menjadi lokasi CSSC yang kedua di bawah kementerian kami.
“CSSC ini akan membolehkan NGO menjalankan aktiviti mereka secara percuma apabila diperlukan,” katanya pada majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat Bahagian Bintulu di Auditorium Wisma Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fatimah turut menegaskan keperluan untuk mewujudkan ‘Halfway House’ bagi individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Jelas beliau, pusat sedemikian akan berfungsi sebagai tempat sementara bagi mereka yang telah keluar dari hospital tetapi masih memerlukan pemantauan dan sokongan sebelum kembali ke komuniti.
“Dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), kita perlu memikirkan untuk mewujudkan ‘Halfway House’ bersama dengan Jabatan Kesihatan Sarawak.
“Mereka yang telah dibenarkan keluar dari hospital akan ditempatkan di ‘Halfway House’ ini sebelum kembali kepada komuniti untuk memastikan mereka mempunyai sistem sokongan yang sewajarnya.
“Ini termasuk pemantauan dari segi pengambilan ubat, kaunseling berterusan, dan juga aspek sumber pendapatan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata pembinaan pusat itu sangat penting untuk memastikan individu yang berdepan dengan isu mental mempunyai tempat yang selamat dan dilengkapi sokongan yang diperlukan, terutamanya dalam membantu mereka menjalani kehidupan secara berdikari semula.
Turut hadir, Pengarah Hospital Bintulu, Suzalinna Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming; ADUN Jepak, Iskandar Turkee dan Timbalan Pengerusi BDA, Datuk Haidar Khan Asghar Khan.
Oleh Carolyne Utih