ASAJAYA: Masjid Darul Ehsan, Kampung Serpan Laut, Asajaya kini kembali mengadakan solat Jumaat secara berjemaah setelah 13 minggu tidak melaksanakannya sejak penularan wabak Covid-19.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serpan Laut, Asajaya, Jumaat lalu diadakan solat Jumaat yang julung kali diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Solat Jumaat ini dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS),
“Bilangan jemaah dihadkan kepada 40 orang sahaja dan kehadiran jemaah perlu direkodkan,” katanya.
Selain itu, katanya, bacaan suhu badan para jemaah juga diambil dan hanya jemaah yang sihat dan tidak mempunyai gejala demam, batuk dan selsema dibenarkan masuk.
“Solat Jumaat dilaksanakan dengan ringkas dengan menggunakan panduan baharu yang telah disediakan,
“Setiap jemaah yang hadir dikehendaki membawa sejadah sendiri, memakai penutup hidung dan mulut, mengambil wuduk terlebih dahulu dari rumah serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang optimum,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menzahirkan rasa bersyukur kerana pada masa ini Solat Jumaat telah dibenarkan walaupun bilangan ahli jemaah terhad.
“Mereka perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan demi membendung penularan virus Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam hantaran media sosial, Facebook miliknya semalam.
Oleh Diyana Samsuddin