KUALA LUMPUR: Saudara kembar, Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin, kedua-duanya pelajar tingkatan 2 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), mengharumkan nama negara dengan memenangi Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024.
Mereka membuat keputusan menyertai pertandingan esei itu sewaktu kunjungan singkat ke London untuk menemui kakak mereka, Sofea Arisya Muhammad Shaifuddin dan berjaya menghasilkan esei yang diperlukan di sebalik masa persediaan yang terhad.
Sofea, pelajar tahun tiga Wharton Business School, University of Pennsylvania, mengikuti program seberang laut di King’s College London, ketika itu.
Saudara kembar ini melahirkan rasa girang mereka serta syukur di atas kejayaan yang diraih dan berkongsi persediaan rapi yang mereka lakukan untuk pertandingan esei berkenaan.
“Memenangi anugerah ini memberi motivasi untuk kami meneruskan usaha mencari cara baharu untuk melahirkan pandangan kami menerusi penulisan,” kata keduanya dalam kenyataan bersama yang dihantar ke Bernama.
Sebelum kejayaan ini, Anas dan Amir pernah menyertai peraduan esei yang lain, tetapi penyertaan untuk Queen’s Commonwealth Essay Competition, adalah yang pertama.
Esei mereka, yang memberi tumpuan kepada tema nilai kekeluargaan, perpaduan dan warisan budaya, ternyata paling unggul dalam kalangan ribuan esei yang diterima oleh pihak penganjur.
Esei Anas, bertajuk A Culinary Journey with Tok and Me, memberi peluang kepada pembaca untuk berkongsi pengalamannya mempelajari cara memasak makanan tradisional Malaysia daripada neneknya (Tok).
“Nak buat kuih yang sedap mesti ada rasa kasih dalam setiap langkah membuat kuih itu’,” nenek Anas memberitahunya.
Menurut Anas, pesanan neneknya itu mengajar dirinya kepentingan bersabar, daya kreatif serta nilai menyatukan komuniti menerusi makanan.
Sementara itu, esei Amir, A Malaysian Tale of Family and Unity, menekankan kepentingan perhimpunan keluarga sewaktu musim perayaan seperti hari raya.
Dia menggambarkan suasana meriah, berkongsi makanan dan tradisi yang mengeratkan lagi jalinan silaturrahim sesama anggota keluarga, di samping nilai-nilai berkenaan penting memupuk perpaduan dalam Komanwel.
“Bagi saya, tradisi ini adalah simbol kekuatan dan perpaduan, nilai yang saya percaya boleh menyatukan semua dalam Komanwel,” katanya.
Tema Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024, berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan, hospitaliti, kerjasama, hormat-menghormati serta maruah – konsep yang digunakan oleh Anas dan Amir untuk esei mereka.
Saudara kembar ini juga menyatakan penghargaan kepada guru bahasa Inggeris mereka, Sir Qassim dan En Ng atas bimbingan serta galakan yang diberikan untuk mereka berkarya sebagai penulis muda.
Mereka juga melahirkan harapan esei yang dihasilkan itu akan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencuba kuasa penceritaaan serta menjadikan nilai-nilai seperti perikemanusiaan dan saling hormat-menghormati, malar segar, dalam evolusi dunia yang kian pesat. – Bernama