KUALA SELANGOR: Siapa sangka dengan menabung RM300 sebulan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sejak dua tahun lepas, seorang guru dari Pulau Pinang, Siti Sara Arshad, membawa pulang sebuah kereta Proton X70 Premium selepas muncul pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2019.
Hadiah berkenaan diserahkan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid pada satu majlis ringkas Pusat 4S Proton di sini semalam.
Menurut Siti Sara, 53, beliau mula menabung di SSPN sejak 2018 kerana tertarik dengan kelebihan yang ditawarkan PTPTN kepada pendeposit.
“Sebagai pendeposit SSPN, saya layak mendapat rebat cukai pendapatan sehingga RM8,000, patuh syariah selain mendapat perlindungan takaful dan khairat kematian,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Siti Sara yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri, Sungai Jawi Pulau Pinang ketika ditemui berkata, beliau menabung sebanyak RM300 sebulan dalam enam buah akaun SSPN milik anak-anaknya termasuk akaun beliau dan suami tanpa gagal sejak 2018.
Sementara itu Ahmad Dasuki berkata, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, PTPTN menawarkan promosi Jom Beraya Jom Menyimpan Bersama SSPN #RayaDiRumah yang menawarkan hadiah berbentuk duit raya dengan nilai keseluruhan RM261,000.
Promosi yang berlangsung pada 18 Mei sehingga 30 Jun ini terbuka kepada semua pendeposit SSPN.
“Bagi setiap simpanan berjumlah RM300, mereka layak mendapat satu penyertaan bagi cabutan di peringkat negeri dan kebangsaan. Ibu bapa yang berminat boleh membuka akaun SSPN dengan melayari laman web www.lovesspn.com,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi SSPN, beliau berkata bagi tiga bulan pertama tahun ini, prestasi tabung pendidikan berkenaan dilihat sentiasa meningkat.
“Bagi tiga bulan pertama tahun ini, walaupun kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, jumlah keseluruhan deposit SSPN adalah RM385.34 juta berbanding RM250.32 juta untuk tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya. – Bernama