SARATOK: Inisiatif kerajaan Sarawak memperkenal Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang (SPPRP) memberi peluang kepada masyarakat di negeri ini memohon pinjaman tersebut bagi membina baharu rumah panjang mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata skim itu banyak membantu penduduk rumah panjang untuk pembinaan rumah mereka.
“Mengambil contoh penduduk Rumah Bidah Tambi sepanjang 21 pintu telah mendapat pinjaman rumah panjang yang disediakan kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), dan telahpun diluluskan baru-baru ini.
“Begitu juga Rumah Tinting Jelai Selambong sepanjang 21 pintu ini bakal memiliki rumah panjang yang baharu apabila pembinaannya bakal siap tidak lama lagi.
“Dengan wujudnya pinjaman seperti ini, ia dapat memberi kelegaan kepada penduduk membina rumah-rumah mereka menyediakan kemudahan skim pinjaman rumah panjang dengan bayaran balik rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan perkembangan pembinaan Rumah Tinting Jelai Selambong dekat sini hari ini.
Mohamad Duri berkata skim yang disediakan oleh pihak HDC itu banyak membantu penduduk rumah panjang untuk pembinaan rumah mereka.
“Sehubungan itu, saya menggesa rakyat agar merebut skim serta bantuan perumahan yang ada disediakan ini untuk memiliki kediaman yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata pelbagai bantuan telah disediakan oleh pihak kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membantu rakyat bagi memiliki rumah kediaman daripada HDC.
“Ia termasuk skim pinjaman perumahan oleh pihak Mutiara Mortgage & Credit yang menyediakan perkhidmatan pinjaman perumahan dan juga turut membantu membina rumah kediaman,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN