PRESIDEN Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS), Sunny Si Poh Heng memberitahu, pihaknya telah melaksanakan proses sanitasi di Pusat Tenpin Boling Megalane, E-Mart Batu Kawa, Kuching.
Lantas, langkah tersebut setentunya tidak menimbulkan sebarang persoalan terhadap para atlet terutamanya bagi mereka yang menggunakan gelanggang berkenaan bagi menjalani latihan bagi persiapan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 kelak.
“Kita telah melakukan pembersihan tempat ini yang mencakupi semua peralatan yang terdapat setiap ruang yang ada.
“Selain itu, kita akan sentiasa memantau para atlet sama ada sebelum memulakan sesi latihan atau diakhir proses harian mereka itu,” kata Sunny.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan pihaknya turut mengingatkan kepada para atlet, jurulatih dan pegawai agar mematuhi Proses Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan itu.
Jelasnya, beliau percaya tiada masalah buat pemain untuk mempraktikkan semua itu selain pihaknya juga akan melakukan penerangan sebelum itu.
Tambahnya lagi, langkah ditetapkan itu sebagai pendekatan dalam memutuskan rantaian penularan virus berbahaya Covid-19 yang melanda negara serta dunia ketika ini.
Katanya, pemain skuad tenpin boling Sukma Sarawak akan memulakan sesi latihan mereka pada 17 Jun (Rabu) ini.