MIRI : Enam pasukan robotik dari Miri akan mewakili negara ke Kejohanan Terbuka Robotik Dunia (WRO) yang diadakan di Izmir, Turkiye pada 28 hingga 30 November ini.
Daripada jumlah itu, empat pasukan adalah dari SMK Chung Hua Miri dan dua dari IPG Sarawak Kampus Miri.
Dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC), pasukan robotik dari SMK Chung Hua memenangi tiga emas masing-masing dalam kategori Robomission Junior, Robosport dan Future Innovators.
Mereka juga memenangi satu perak dalam kategori Robomission Senior.
Pasukan itu dianggotai Foong Kai Jie, Dexter Yong Shawn, Keith Lee Yee, Jayden Yii Yang, Pau Thien Sheng, Hugo Lee Ye, Yong Jia Hong, Shawn Ting Jun, Bryan Lai Wen, Hera Lee Xi, Deborah Liau Song dan Ashley Fung.
Mentor pasukan ialah Justine Jimbai, Denny James Senawin, Yong Hong Then dan Chien Chee Lin.
Sementara itu, tiga pasukan dari IPG Miri membawa balik satu emas, satu perak dan satu gangsa masing-masing untuk kategori Robomission Rookie.
Tiga lagi pasukan memenangi satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam kategori Future Engineer.
Ahli pasukan terdiri daripada Lai Chaun Choy, Sii Tee Tee, Muhammad Fauzan Hakimi Ghazali, Alvin Kong Wei, Tony Loh Li, Ling Jun Hao, Desbriyani Maripa, Alicesier Meynna Wat, Aishwarya Melvyeaneys Lheng, Pui Sin Ru, Jena Lee Zhi, Edlyn Undah, Grace Tan Hong, Anatashya, Gibson Ting Shi, Raymond Ting Yih, Angel Ting An dan Jennifer Emilly Douglas.
Mentor pasukannya ialah Dr Hu Laey Nee, Wong E-Mann, Dr Law Hui Haw dan Dr Norsarihan Ahmad.
Pertandingan itu diadakan di Dewan Tun Canselor Universiti Multimedia di Cyberjaya, Selangor pada 23 hingga 26 September lalu.
Aktiviti tahunan itu dianjurkan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Program Robotik dan STEM Berimpak Tinggi.
Dalam pada itu, pasukan SMK Chung Hua diketuai jurulatih pasukan robotik dan pengetuanya, Lai Jia Ling membawa balik bersama Piala Iringan Juara Keseluruhan NRC ketika tiba di Lapangan Terbang Miri hari ini.
Ketibaan pasukan tersebut disambut Kaunselor Jeffery Phang yang mewakili Menteri Pengangkutan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Hadir sama Penolong Pegawai Pendidikan Miri Dzulfikhar Awang dan Setiausaha Lembaga Pengarah Sekolah, Rita Ting.