TOKYO: Banduan hukuman mati paling lama di dunia berterima kasih kepada penyokongnya kerana membantu mencapai ‘kemenangan penuh’ selepas mahkamah Jepun minggu lalu membatalkan sabitan kes bunuh berusia puluhan tahun.
Selepas perjuangan panjang untuk mendapatkan keadilan yang dipimpin oleh kakaknya, Iwao Hakamada, 88, diisytiharkan tidak bersalah atas tuduhan pembunuhan empat orang, yang menyebabkan beliau menjalani hukuman mati selama 46 tahun.
“Akhirnya saya telah dapat ‘kemenangan penuh’, saya tidak sabar lagi untuk mendengar keputusan tidak bersalah itu,” kata bekas peninju itu kepada penyokongnya pada Ahad di Shizuoka, wilayah barat daya Tokyo di mana keputusan itu diumumkan.
Hakamada sambil tersenyum dengan mengenakan topi hijau, berulang kali mengucapkan ‘terima kasih banyak’, diiringi kakaknya yang berusia 91 tahun, Hideko, pada pertemuan yang ditayangkan di televisyen Jepun.
Jepun dan Amerika Syarikat (AS) adalah satu-satunya demokrasi perindustrian utama yang mengekalkan hukuman mati, serta mempunyai sokongan meluas dalam kalangan rakyat Jepun.
Hakamada adalah banduan hukuman mati kelima yang diberikan perbicaraan semula dalam sejarah pasca-perang Jepun. Keempat-empat kes terdahulu juga berakhir dengan pembebasan.
Puluhan tahun penahanan – kebanyakannya dalam pengasingan dengan ancaman hukuman mati yang sentiasa menghantuinya – telah memberi kesan kepada kesihatan mental Hakamada.
Peguam dan penyokongnya menggambarkan beliau sebagai ‘hidup dalam dunia fantasi’.
Hakamada dibebaskan pada 2014 sementara menunggu perbicaraan semula tetapi jarang bercakap secara terbuka.
Walaupun keputusan perbicaraan semula dikeluarkan, pembebasannya belum dimuktamadkan – pihak pendakwaan dilaporkan mempunyai sehingga 10 Oktober untuk memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Daerah Shizuoka.
Namun, mereka mungkin menghadapi kesukaran kerana mahkamah menolak secara menyeluruh hujah pendakwaan, dengan mengatakan bahawa penyiasat telah memalsukan bukti utama.
Pengakuan awal Hakamada bahawa dia merompak dan membunuh majikannya, isteri lelaki itu, serta dua anak remaja mereka diperoleh melalui soal siasat ‘tidak berperikemanusiaan’ dan penyeksaan mental serta fizikal, menyebabkan ia tidak sah, kata keputusan mahkamah.
Pakaian berlumuran darah yang digunakan untuk menuduhnya juga dianggap satu penipuan.
Mahkamah menyatakan bahawa penyiasat meletakkan darah pada pakaian tersebut dan menanamnya dalam tangki miso (pes kacang soya yang diperam) untuk ditemui pihak berkuasa. – AFP