SEREMBAN: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini semalam atas pertuduhan memiliki rokok seludup melibatkan nilai cukai sebanyak RM2.5 juta, Mei lalu.
Tertuduh Tan Fei Hong dan Yap Soon Wei, yang masing-masing berusia 25 tahun dan Loo Shin Jiun, 30, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret V. Vanita.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh pada 6 Mei, di tiga lokasi berasingan di dalam daerah Seremban dengan sedar dalam milikan, mempunyai barang larangan import iaitu rokok pelbagai jenama di mana barangan tersebut adalah dilarang pengimportannya, kecuali dengan cara yang diperuntukkan di bawah Butiran 1, Bahagian Ke-2, Jadual Ke-3, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Ketiga-tiga tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(iii)(aa) Akta sama, yang membawa hukuman denda bagi kesalahan pertama, iaitu tidak kurang dari 10 kali ganda dari amaun duti Kastam dan tidak lebih dari 20 kali ganda dari amaun duti Kastam, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jiwan Kaur Malkith Singh dan menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran seminggu sekali.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam M. Yallini.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kesemua tertuduh masing-masing dijamin RM8,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis berhampiran setiap minggu dan kes disebut semula pada 14 Julai ini. – Bernama