KUCHING: Sasaran 83 pingat emas tidak kesampaian tetapi prestasi kontinjen Sarawak tetap membanggakan dengan menggapai kejuaraan keseluruhan Para SUKMA 2024 bagi kali ke-14.
Ini berikutan acara terakhir disertai tuan rumah, iaitu boling padang tidak memperoleh emas, sebalikny meraih dua pingat perak dan satu gangsa.
Jurulatih II skuad boling padang Sarawak, Rosman Majunit berkata anak buahnya hari ini hanya akur dengan tiga pingat itu tanpa kilauan emas.
Ini bermakna terkuburlah harapan Sarawak untuk mencapai sasaran 83 pingat emas keseluruhannya.
Bagaimanapun menurut Rosman, beliau tetap berpuas hati kerana sudah mencapai sasaran tiga emas untuk Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.
Skuad boling padang bukan satu-satunya yang mencapai sasaran.
Skuad olahraga pula penyumbang utama emas untuk kontinjen Sarawak bukan sahaja mencapai, malah melebihi sasaran dengan 33 emas, berbanding 30 emas yang disasarkan sebelum ini.
Kem renang turut beraksi cemerlang apabila tampil sebagai juara acara tersebut dengan kutipan 17 emas, sekali gus mencapai sasaran 15 emas sebelum ini. Skuad renang bimbingan Sarini @ Syarbini Kedri itu merupakan penyumbang kedua terbanyak emas dalam temasya kali ini.
Seterusnya, skuad powerlifting Sarawak turut menepati sasaran 13 emas yang disasarkan. Selain emas, skuad bimbingan Jamil Adam itu turut memperoleh satu perak dan empat gangsa.
Dalam badminton pula, Sarawak menetapkan sasaran tiga pingat emas dan berjaya menepati sasaran tersebut dengan meraih tiga emas, satu perak dan empat gangsa.
Sukan boccia turut meraih tiga emas, melepasi sasaran dua emas sebelum ini, manakala, skuad ping pong turut memperoleh tiga emas bagi memenuhi sasaran tiga emas skuad tersebut.
Bagaimanapun, terdapat juga acara yang tidak menepati sasaran, antaranya, memanah yayng sebelum ini menyasarkan sekurang-kurangnya satu gangsa untuk Para SUKMA kali ini, namun, skuad memanah tuan rumah gagal meraih sebarang pingat.
Skuad tenpin boling yang memperagakan aksi cemerlang dengan meraih tujuh emas turut tidak memenuhi sasaran kutipan emas. Sebelum ini, Ketua Jurulatih skuad para tenpin boling Sarawak,Myron Khoo menyasarkan 10 emas.
Oleh SHAHRUL QAIZAT