KUCHING: Atlet ping pong Sarawak Gloria Gracia Wong Sze melengkapkan sasaran tiga pingat emas kontinjen tuan rumah selepas mengungguli kategori perseorangan wanita berdiri 9-10 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini.
Kejayaan itu amat bermakna buat Gloria yang melakukan hatrik selepas memenangi emas dalam acara sama pada edisi 2018 di Perak dan Kuala Lumpur (2022).
Gloria berkata kehebatan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin menjadi pencetus semangat untuk menyumbang kilauan emas kepada kontinjen Bumi Kenyalang.
“Sebagai atlet negara, saya sentiasa lihat kejayaan Bonnie yang mengharumkan nama negara dan Sarawak. Jadi saya mahu jadi seperti dia, saya mahu ke Sukan Paralimpik dan menang emas seperti Bonnie,” katanya kepada Bernama di sini.
Pada aksi final yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (China) Chung Hua No.3 itu, Gloria mudah mengetepikan cabaran atlet Terengganu Nurul Nasuha Mohd Anuar 11-3, 11-4, 11-1, manakala pingat gangsa menjadi milik Halimatus Saadiah Madsah dari Sabah.
Pingat emas yang diraih Gloria melengkapkan tiga pingat emas yang disasarkan pasukan tuan rumah, selepas Bivyana Anak Ujai menghadiahkan emas kedua dengan mengungguli ketiga-tiga aksi liga sepusingan.
Pingat emas pertama Sarawak dalam acara ping pong diperoleh menerusi perseorangan wanita kerusi roda Chow Mei Hsia selepas mengetepikan ketiga-tiga pencabar pada peringkatliga sepusingan Isnin lepas.
Dalam pada itu, Gloria yang merupakan pemenang pingat perak di Sukan Para ASEAN, Kemboja tahun lepas berkata kemenangannya itu menjadi tonik tambahan untuk merebut pingat emas pada Sukan Para ASEAN Thailand tahun depan.
“Satu persatu langkah untuk saya pastikan saya layak menyertai Paralimpik seperti Bonnie. Satu pingat emas di Sukan Para ASEAN dan saya tidak sabar untuk beraksi sekali lagi pada Para Asia,” katanya. — BERNAMA