MANCHESTER: Manchester City yang banyak berubah mengetepikan Watford 2-1 untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.
City beraksi tanpa pemain tengah utama, Rodri selepas pemain Sepanyol itu disyaki mengalami kecederaan ligamen lutut ketika seri 2-2 menentang Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Selepas sekitar 48 jam selepas pertembungan itu, City kembali beraksi dan Pep Guardiola melakukan sembilan pertukaran pada kesebelasan utama, termasuk penampilan sulung untuk pemain akademi, Kaden Braithwaite yang berusia 16 tahun.
Jeremy Doku, salah seorang daripada dua pemain yang mengekalkan tempatnya, merembat masuk gol pembukaan selepas menerima hantaran Jack Grealish selepas lima minit.
Ketiadaan Rodri bermakna Matheus Nunes bakal memainkan peranan yang lebih menonjol dan pemain antarabangsa Portugal itu meledak gol pertamanya sejak menyertai City dengan nilai £53 juta, setahun lalu pada aksi tersebut.
Tom Ince, anak kepada bekas pemain tengah Manchester United, Paul Ince, menjaringkan gol lewat untuk Watford, namun ia terbukti terlambat untuk pasukan Liga Kejuaraan itu.
Sementara itu pada aksi lain, Aston Villa turut diasak oleh pasukan liga bawahan tetapi tandukan Emi Buendia dan penalti Jhon Duran sudah memadai untuk pasukan menang 2-1 menentang Wycombe.
Manchester United dan Tottenham adalah antara pasukan yang mara ke pusingan keempat, minggu lepas.
Liverpool akan menentang West Ham United dan Arsenal melayan Bolton dalam baki dua perlawanan Piala Liga, esok. – AFP