MIRI: Sebuah lot kedai menjual sayur-sayuran dan buah-buahan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Pusat Penjaja Morsjaya di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu sekitar jam 10.59 malam.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan.
“Setibanya, di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan satu lot kedai jenis struktur separuh kekal telah terbakar dianggarkan 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Susulan itu katanya, pasukan bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel dan dua aliran salur bantu mula air dari pam jentera.
“Kerja-kerja pengawasan dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca api di tempat kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya
Operasi ditamatkan pada jam 12.09 tengah malam.