MIRI: Seorang lelaki maut selepas treler dipandunya dilanggar sebuah kereta di Jalan Pesisir Pantai, dekat Niah Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa berusia 51 tahun maut dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.40 pagi.
“Kemalangan ini menyebabkan kereta tersebut mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan bahagian dan pemandunya seorang lelaki berusia 25 tahun hanya mengalami kecederaan luka ringan pada kaki dan tangan.
“Pemandu lori tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan lori tersebut mengalami kerosakan pada bahagian kanan lori,” katanya dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, Alexson menjelaskan, dalam kejadian terbabit, kereta tersebut datang dari arah Kampung Iran menghala ke Sepupok, Niah.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan seterusnya melanggar pemandu lori yang berada di sebelah kanan luar kenderaan,” katanya.
Susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.