KUCHING: Sarawak mampu mencapai sasaran ketibaan empat juta pelancong menjelang hujung tahun ini, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan itu berkata jumlah ketibaan pelancong ke negeri ini dari Januari hingga Ogos tahun ini sudaj mencecah sebanyak 3,289,357 orang.
Menurutnya, jumlah itu melonjak sebanyak 26.80 peratus berbanding tahun lepas yang mencatatkan 2,594,028 orang pelancong dalam tempoh sama.
”Saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran kita iaitu empat juta pelancong sebelum hujung tahun ini kerana jumlah pelancong untuk Ogos tahun ini sahaja ialah 450,785 orang.
“Pada bulan sama tahun lepas, jumlahnya adalah sebanyak 324,173. Ini menunjukkan lonjakan sebanyak 75.96 peratus berbanding tahun lepas.
”Dengan statistik dan lonjakan ini, kita optimis akan mencapai sasaran ini pada penghujung bulan ini atau menjelang pertengahan Oktober… tidak perlu menunggu hingga Disember” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak 2024 di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abdul Karim berkata dari segi perolehan pelancongan bagi Ogos tahun ini, Sarawak mencatatkan RM1.173 bilion sekali gus melonjak sebanyak 43.44 peratus berbanding Ogos tahun 2023.
”Sementara itu, dari segi perolehan pelancongan dari Januari hingga Ogos tahun ini, Sarawak merekodkan RM8.503 bilion.
”Angka ini sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 29.14 peratus kerana pada 2023, Sarawak mencatatkan perolehan pelancongan sebanyak RM6.584 bilion dalam tempoh yang sama,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA