KLUANG: Program Jualan Istimewa MADANI Angkatan Tentera (JIMAT) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah akan dilaksanakan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan di semua kem tentera seluruh negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata JIMAT akan dilaksanakan di 93 kedai Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) melibatkan 28 barangan keperluan asas setakat ini, dalam usaha kerajaan membantu pasukan keselamatan itu.
“Kita akan laksanakan 12 kali setahun, istimewa untuk anggota tentera kerana (JIMAT) lebih kerap berbanding Jualan Rahmah, dengan barangan terlibat diberi diskaun antara 22 hingga 30 peratus,” katanya semasa berucap di Kem Mahkota di sini hari ini.
Mohamed Khaled mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan lawatan kerja ke kem tentera darat itu.
Sebagai contoh perbandingan harga, Mohamed Khaled berkata beras 10 kilogram yang dijual RM38.70 di pasaran berharga RM36.70 di PERNAMA dan lebih murah di JIMAT iaitu RM35.20 manakala serbuk minuman Milo sekilogram yang berharga RM23.90 dijual RM16.50 pada program itu.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan (Mindef) juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membangunkan ekosistem sokongan untuk pendidikan yang selesa dan berkualiti kepada anak warga ATM.
Antaranya, pelaksanaan inisiatif Simpanan Pendidikan MADANI (SPM), kelas tambahan dan bimbingan berfokus percuma kepada 989 anak-anak ATM yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pemberian Chromebook percuma kepada pelajar tingkatan lima bermula tahun ini.
Selain itu, usaha untuk menambah baik dan meningkatkan capaian selular dan Internet di kem juga giat dilakukan, selain warga ATM dijangka menerima berita gembira berkaitan langganan perkhidmatan telekomunikasi pada November ini, kata Mohamed Khaled.
— BERNAMA