KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak kini sedang menyiasat dan memantau aktiviti Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB) yang beroperasi di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, pihaknya telah lama memantau kegiatan GISB di negeri ini.
“Kami masih memantau dan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini.
“Kami juga sudah melakukan siasatan dan risikan serta telah mengenal pasti operasi dan lokasi mereka.
“Setakat ini belum ada (tangkapan) kerana kami tidak menerima laporan berhubung perkara tersebut di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Mancha, beliau menjelaskan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan Bukit Aman dalam menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.
Terdahulu, pada 11 September lalu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
Katanya, polis menyatakan bahawa mangsa telah mengalami pelbagai bentuk eksploitasi dan penderaan, termasuk diliwat.
Beliau mendedahkan modus operandi GISBH yang diperoleh daripada risikan polis dan kenyataan mangsa, termasuk dakwaan mangsa diajar dan dipaksa untuk meliwat, serta diliwat oleh penjaga dan penghuni lain.
Oleh Mohd Neenatul Aizal