SEJAK kebelakangan ini, pelbagai isu dibangkitkan berkaitan dengan hak sumber asli Sarawak sehingga ada pihak khabarnya mahu membawa isu ini ke mahkamah. Ini berikutan langkah menjadikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak dan juga isu pelantar benua.
Ia ibarat kebun belakang rumah kita, orang lain yang ambil buah, dan kemudian didedahkan kawasan di bahagian belakang tanah itu sebenarnya juga milik tuan rumah, tetapi pihak yang ambil buah itu pula mahu menyaman pemilik rumah. Bagaimanapun, ini cuma contoh mudah berdasarkan andaian atau pemahaman cuma seluas ’30-40 meter’ tanah itu hak tuan rumah, tetapi hakikatnya pemilikan itu sehingga ‘200 meter’ di belakang rumah miliknya.
Ini kerana masing-masing membuat tafsiran berdasarkan pelbagai lapisan undang-undang yang ada. Lebih buruk ada negara yang jauh nun di utara turut menuntut hingga menjadi isu ‘tuntutan bertindih’ membabitkan beberapa negara di Laut China Selatan. Malah dari semasa ke semasa kapal peronda mereka ‘lalu lalang depan wilayah kita’. Apa kata kita tukar nama kepada ‘Laut Borneo Nusantara’ atau ‘Borneo Archipelago Sea’?
Seperti kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kawasan sehingga 200 batu nautika di perairan negeri ini adalah hak wilayah Sarawak, bukan tiga atau empat batu nautika. “Sebab itu, kita ada hak untuk mengurus selia, menggunakan apa juga sumber asli atau sumber yang terdapat di bawah tanah di dalam lingkungan 200 batu nautika,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.
Malah katanya, sempadan Sarawak, termasuk pelantar benua, adalah hak negeri ini dan tidak boleh dibincang sama sekali. Perkara ini secara mutlak dijelaskan oleh Premier Sarawak pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu mengenai Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada 17 Disember 2018.
“Sempadan Sarawak dipanjangkan melalui Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) 1954 untuk memasukkan sehingga ke pelantar benua termasuk dasar laut dan di bawah dasar laut. Pelantar benua dan dasar laut, bawah dasar laut, dengan itu berada di dalam definisi ‘tanah negeri’ di bawah Seksyen 2 Kanun Tanah dan ia dibawah kawalan kerajaan Sarawak berdasarkan seksyen 12.
“Pelantar benua di dalam sempadan Sarawak, dengan itu adalah sebahagian sempadan wilayah Sarawak. Artikel 1 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa wilayah Sarawak adalah wilayah yang terangkum sebelum Hari Malaysia. Dengan itu, selepas Hari Malaysia, pelantar benua adalah sebahagian wilayah Sarawak dan sebarang undang-undang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri berdasarkan alasan Artikel 73 (b) diguna pakai kepada pelantar benua di dalam sempadan Sarawak,” katanya.
AKTA PELANTAR BENUA
1966 TIDAK LAGI TERPAKAI
Ini berikutan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa kementeriannya dalam membangunkan kerangka undang-undang industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia, akan dipandu dan diikat oleh pandangan undang-undang yang diberikan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Rafizi kerangka itu termasuk aspek berhubung tafsiran persempadanan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang telah termaktub di bawah Akta Pelantar Benua (1966), Akta Zon Ekonomi Eksklusif (1984) dan Akta Laut Wilayah (2012).
Sharifah Hasidah menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak telah membentangkan pada Majlis Tenaga Negara pada 2 Ogos lalu mengenai kuasa kerajaan Sarawak berkisar kepada projek CCUS di Sarawak. Katanya, bagi kerajaan Sarawak semua projek penyimpanan karbon dijalankan didalam sempadan Sarawak mesti dikawal selia oleh undang-undang negeri. Kertas pembentangan ini katanya, diterima tanpa bantahan oleh ahli majlis.
Beliau berkata kerajaan Sarawak terkejut dengan kenyataan Menteri Ekonomi bahawa terdapat isu berhubung sempadan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenai Akta Pelantar Benua (1966), Akta Zon Ekonomi Eksklusif (1984) dan Akta Laut Wilayah (2012). Kenyataan itu mendakwa bahawa perbincangan mengenai perbezaan tafsiran sempadan (antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak) masih diteruskan.
Bagaimanapun menurut Sharifah Hasidah, pemerangkapan karbon membabitkan penggunaan dan pendudukan tanah negeri dan dengan itu, mesti dikawal selia mengikut undang-undang negeri.
“Dimaklumkan bahawa kenyataan media Menteri Ekonomi mentafsirkan sempadan Sarawak dengan hanya merujuk kepada tiga akta Parlimen tetapi gagal untuk mempertimbangkan Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) 1954 dan Kanun Tanah serta Artikel 1(3) Perlembagaan Sarawak. Undang-undang ini jelas dan tiada ruang untuk pentafsiran berbeza.
“Akta Pelantar Benua 1966 dipanjangkan kepada Sarawak menerusi No.10 Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969. Ordinan ini sudah luput dibawah Artikel 150 (7) Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu, akta ini tidak lagi terpakai kepada Sarawak, dan definisi ‘pelantar benua’ dalam akta ini jelas menyatakan bahawa pelantar benua tidak harus menjejaskan wilayah negeri atau had perairan wilayah negeri dan hak serta kuasa pihak berkuasa negeri diguna pakai.
“Oleh itu, Akta Pelantar Benua 1966 tidak menjejaskan wilayah Sarawak serta hak dan kuasa kerajaan Sarawak ke atas bahagian pelantar benua yang terletak di dalam sempadan Sarawak. Kerajaan Sarawak sudah memberitahu Kementerian Ekonomi bahawa cadangan rang undang-undang pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon tidak harus diguna pakai untuk Sarawak,” katanya.
JTS PERLU UKUR SEMPADAN DI LAUT
Sudah tiba masanya Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak membuat kerja pengukuran di laut untuk diperincikan garisan sempadan sebenar dan mengira berapa banyak pelantar minyak terangkum di dalam benua wilayah Bumi Kenyalang.
Itu bab pelantar benua yang semestinya banyak pelantar minyak beroperasi di dalam kawasan sehingga 200 batu nautika di perairan wilayah Sarawak. Kini timbul isu gas.
Pada Mei lalu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengumumkan bahawa Petros akan mengambil alih 100 peratus operasi pengagihan gas bermula 1 Julai. Ini menyebabkan Petronas gelisah. Baru-baru ini RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya menjangkakan Petronas akan kehilangan sebahagian daripada hasil kerana tidak menjadi agregator gas tunggal di Sarawak.
Di Singapura baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rundingan di antara kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung kawal selia pengagihan gas asli cecair (LNG) di Sarawak masih berjalan.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan sehingga 1 Oktober ini kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petros. Sarawak sebelum ini memutuskan Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai ini. Ini kerana Petros diberi kuasa sebagai agregator gas tunggal di Sarawak yang sebelum ini dikawal selia oleh Petronas. Bagaimanapun, Petronas meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Difahamkan setakat ini sebanyak 13 pemain industri huluan gas sudah menerima lesen bagi peruncitan gas untuk dibekalkan kepada Petros selaku agregator utama gas Sarawak. Pemberian lesen itu, seperti kata Julaihi adalah sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(g) Ordinan Pengedaran Gas 2016.
Antara pemain industri huluan gas yang menerima lesen runcit gas untuk menjual gas kepada Petros adalah Petroleum Sarawak Exploration and Production (PSEP) Sdn Bhd; PTTEP Sarawak Oil Limited; Sapura OMV Upstream (Sarawak) Inc; Sarawak Shell Berhad, Petronas Carigali Sdn Bhd; PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi; Diamond Energy Sarawak Sdn Bhd; Mubadala Energy Ltd; ROC Oil (Sarawak) Sdn Bhd; JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited; Dialog Resources Sdn Bhd; Vestigo Petroleum Sdn Bhd (VPSB) dan E&P Malaysia Venture (EPMV) Sdn Bhd.
Sekarang apa penyelesaiannya? Apakah Petronas meneruskan usaha membawa kes ini ke mahkamah? Persoalannya sama ada penyelesaian korporat antara Pertonas dan Petros atau penyelesaian politik antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan?
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak