KUCHING: Sebanyak 19 hotel di sekitar bandar raya ini dikenal pasti sebagai tempat penginapan atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata atlet Para SUKMA akan ditempatkan di penginapan yang berdekatan dengan venue pertandingan mengikut jenis sukan yang disertai bagi memudahkan mereka bergerak ke lokasi pada hari pertandingan.
“Kita tidak menempatkan mereka mengikut kontinjen atau negeri, namun ia dibuat mengikut acara sukan yang dipertandingkan dan tempat tinggal mereka berdekatan dengan venue pertandingan.
“Dengan cara ini kita harap ada interaksi sosial antara atlet para dari 15 kontinjen, ini yang kita mahu…malah bukan sahaja pertandingan 10 jenis sukan, kita juga hendak memastikan dan melihat ada interaksi sosial antara atlet para,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Media Utama Para SUKMA 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata dengan mengumpulkan atlet para dari pelbagai kontinjen di satu tempat penginapan, integrasi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan atlet para akan tercapai, bertepatan dengan tema SUKMA 2024 iaitu ‘Semangat Perpaduan Membara’.
Sebanyak 10 jenis sukan para akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah dan catur membabitkan 328 acara.
Sebagai rekod, Para SUKMA XXI Sarawak 2024 menyaksikan penglibatan seramai 1,290 atlet yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet para wanita.
Sarawak akan diwakili 143 atlet lelaki dan 70 atlet wanita.– BERNAMA