BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor menangani dua kes kebakaran di dua lokasi berbeza, petang semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, PPgB Nicholas Belulin, kes kebakaran pertama berlaku di kawasan perumahan terbiar di Kampung Baru 1 Malaysia manakala kes kedua di Jalan Hua Yii, Sungai Mador.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berkenaan kebakaran rumput di kawasan perumahan terbiar di Kampung Baru 1 Malaysia sekitar 1.38 petang.
“Sepasukan bomba diketuai oleh komander operasi, PBK II Hilary Pitre Ambit bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan rumput di kawasan perumahan terbiar melibatkan kawasan seluas 30 x 30 meter persegi,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pasukan bomba menggunakan hos bantu mula air tangki jentera bomba untuk memadam kebakaran rumput dari terus merebak.
“Kebakaran rumput di lokasi tersebut berjaya dipadamkan dalam tempoh lebih kurang 16 minit.
“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada 2.02 petang,” katanya.
Lebih kurang satu jam 23 minit pihak bomba berada di BBP Bintangor selepas selesai memadamkan kebakaran rumput di kawasan perumahan terbiar di Kampung Baru 1 Malaysia, satu lagi kes kebakaran rumput telah berlaku di Jalan Hua Yii, Sungai Mador.
“Panggilan kecemasan diterima sekitar 3.37 petang. Sepasukan bomba bergegas ke lokasi di salah sebuah kebun buah-buahan di Jalan Hua Yii, Sungai Mador.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kebakaran menggunakan jentera bomba melalui jalan sempit dalam jarak dua kilometer (km).
“Oleh itu, pasukan bomba memohon bantuan dari pengadu untuk membawa mereka ke lokasi kebakaran menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik pengadu,” katanya lagi.
Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemukul api (fire beater) dan semburan air menggunakan tong racun untuk memadamkan kebakaran.
“Kebakaran rumput melibatkan kawasan seluas 40 x 40 meter persegi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh lebih kurang 38 minit.
“Operasi memadamkan kebakaran rumput di lokasi kedua selesai sepenuhnya pada 4.38 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek