SIBU: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya diselamatkan daripada cubaan bunuh diri dalam kejadian yang berlaku di Pasar Sungai Merah, pagi tadi.
Menurut laporan, remaja tersebut dilihat terjun ke dalam sungai dari Jambatan Pasar Sungai Merah pada jam 8.41 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak memaklumkan bahawa mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Mereka menggunakan galah panjang untuk menarik mangsa keluar dari sungai sebelum pihak bomba tiba.
“Hasil tindakan pantas orang awam, mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.