BETONG: Polis memohon bantuan orang ramai atau saksi untuk tampil membantu siasatan bagi satu kes kemalangan maut di kilometer 95, Jalan Betong-Sarikei berhampiran dengan simpang Bukit Saban, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli dalam satu kenyataan kepada media berkata pada 14 September lalu sekitar jam 7.30 malam, Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong telah menerima satu laporan berkenaan satu kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan.
“Siasatan polis di tempat kejadian telah dijalankan dan mendapati kemalangan berpunca dari sebuah kenderaan yang disyaki jenis Toyota Hilux berwarna hitam yang masih gagal dikesan telah merempuh sebuah kenderaan motosikal dari arah belakang sehingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki dengan anggaran umur 57 tahun.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang bertauliah di tempat kejadian akibat pendarahan yang kritikal,” katanya.
Zamry berkata kes tersebut telah disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mendapatkan segala keterangan saksi.
Justeru, pihak polis meminta semua pihak termasuk masyarakat dapat membantu dan memberikan maklumat berkaitan insiden tersebut, kerana kes masih dalam siasatan pihak polis.
Pegawai penyiasat kes boleh dihubungi melalui Inspektor Mohd Hadi Yasin ditalian 014-5854453.