SIMANGGANG: Semua perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diselesaikan selagi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah dapat berbincang dalam semangat Malaysia MADANI dan menghormati antara satu sama lain.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata walaupun sudah 11 perkara di bawah MA63 diselesaikan, masih ada perkara lain yang memerlukan perbincangan berasingan antara beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Antara perkara yang belum selesai ialah hak mengenai kuasa mengutip duti stem atau cukai yang perlu dibayar ketika membuat perjanjian jual beli rumah yang boleh mencapai ratusan juta ringgit setahun di Sarawak,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Hari Malaysia peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau menyatakan penghargaan kepada Anwar yang telah menaikkan pemberian khas secara interim untuk Sarawak dan Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta setahun.
Menurutnya pemberian khas ini adalah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Abang Johari berkata hubungan kerja antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan haruslah berdasarkan dan menghormati apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Beliau berkata permintaan Sarawak berdasarkan MA63 adalah usaha untuk memperbetulkan dan menunaikan hak serta keistimewaan di negeri ini yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian MA63.
Beliau berkata Sarawak memiliki sistem politik dan pentadbirannya sendiri dengan persempadanan dan kependudukan yang jelas, jadi negeri ini tidak boleh diperkecilkan atau direndahkan statusnya kepada status bukan rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia.
“Dalam memperingati Hari Malaysia yang bersejarah ini, kita harus ingat bahawa Sarawak tidak ‘menumpang kasih’ kerana Sarawak bersama wilayah lain telah menubuhkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dengan perlembagaan sendiri,” katanya.
Selain itu katanya, Sarawak berada di hadapan dalam usaha menangani perubahan dan ketidakpastian isu global terutama ketika dunia bergerak menuju era yang penuh cabaran.
Abang Johari berkata, ini termasuk isu-isu kritikal seperti pengembangan teknologi, perubahan iklim, alam sekitar sifar karbon, dan pencarian bahan api tanpa emisi karbon.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri,Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Turut hadir isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap menteri bertanggungjawab sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.