LONDON: Tandukan Gabriel Magalhaes membantu Arsenal melakar kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi di sebalik ketiadaan dua pemain tengah utama Declan Rice dan Martin Odegaard.
Skuad bimbingan Mikel Arteta turun tanpa khidmat kapten, Odegaard yang mengalami kecederaan buku lali ketika tugasan antarabangsa bersama Norway manakala Rice digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada pertemuan menentang Brighton.
Kehilangan dua pemain berpengaruh itu pada awalnya dilihat bakal memberi kesukaran kepada Arsenal dalam kunjungan mereka ke Seven Sisters Road bagi berdepan musuh tradisi mereka Spurs.
Bagaimanapun, pencabar utama gelaran Liga Perdana itu mempamerkan semangat juang tinggi dengan persembahan penuh bertenaga sebelum Gabriel meledak gol kemenangan pasukan pada minit ke-64.
Gol pemain pertahanan Brazil itu membolehkan Arsenal merekodkan kemenangan ketiga dalam empat perlawanan musim ini dalam misi memburu gelaran liga pertama sejak 2004 selepas dua musim terpaksa berpuas hati dengan status naib juara.
Arsenal kini menang dalam tiga kunjungan terakhir mereka ke Tottenham, hanya tewas sekali pada Mei 2022, dalam lapan pertemuan terakhir dengan jiran tetangga mereka itu.
Skuad The Gunners ketika ini berada di kedudukan kedua carta liga, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.
Anak buah Arteta selepas ini akan mengalihkan fokus bagi menghadapi aksi pertama Liga Juara-Juara menentang Atalanta pada Khamis sebelum menghadapi City yang dibimbing Pep Guardiola minggu depan. – AFP