WASHINGTON: Angkasawan dalam misi angkasa lepas swasta, Polaris Dawn, mendarat berhampiran hujung selatan Florida awal hari ini, selepas melengkapkan perjalanan bersejarah lima hari termasuk aktiviti berjalan di angkasa komersial pertama di dunia.
Agensi berita Jerman (dpa) yang memetik pengawal misi berkata, kapsul SpaceX, Crew Dragon yang membawa empat angkasawan itu mendarat di Teluk Mexico sekitar jam 3.30 pagi.
Jutawan usahawan teknologi, Jared Isaacman, mengetuai penerbangan yang disewa khas itu dengan kerjasama pengasas SpaceX, Elon Musk, yang kekal berada di darat.
Isaacman, bersama angkasawan swasta Scott “Kidd” Poteet, Sarah Gillis dan Anna Menon, berlepas menaiki kapal angkasa Crew Dragon dengan roket Falcon 9 dari Tanjung Canaveral di Florida Selasa lalu.
Crew Dragon naik ke ketinggian kira-kira 1,400 kilometer – lebih tinggi daripada mana-mana penerbangan dengan anak kapal sejak misi ke bulan Apollo pada awal 1970-an dan lebih tiga kali ganda ketinggian Stesen Angkasa Antarabangsa.
Bahagian paling berisiko dalam usaha itu berlaku pada Khamis, apabila Isaacman diikuti oleh Gillis, melakukan aktiviti berjalan di angkasa komersial pertama di dunia.
Angkasawan amatur itu tidak terapung bebas di angkasa semasa aktiviti berkenaan yang berlangsung kira-kira 20 minit, sebaliknya masing-masing kekal berpegang pada tangga khas yang keluar dari kapsul.
Memandangkan Crew Dragon tidak mempunyai sendat udara seperti Stesen Angkasa Antarabangsa, keempat-empat kru – termasuk bekas juruterbang jet, Poteet dan pekerja SpaceX, Menon – perlu memakai sut angkasa.
Dengan pintu kapsul dibuka, mereka terdedah kepada vakum angkasa dan tiada udara untuk bernafas dalam kabin. – BERNAMA-dpa