MIRI: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri berjaya merampas 1,742.2 gram ganja dan 143 batang pokok ganja yang dianggarkan bernilai RM3.62 juta di sebuah rumah Jalan Piasau di sini, qJumaat lalu.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, hasil rampasan ini dianggarkan boleh digunakan oleh 32,084 orang penagih.
Katanya, dalam operasi itu, polis telah menangkap dua lelaki tempatan berusia 41 dan 61 tahun.
“Kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Namun, ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Tetra Hydro Cannabinol (THC).
“Harta bernilai RM24,500 turut disita termasuk sebuah kereta bernilai RM20,000 dan sebuah motosikal bernilai RM4,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Mengulas lanjut, Mancha menjelaskan bahawa modus operandi suspek dipercayai mendapatkan benih pokok ganja dari luar negara secara dalam talian dan penghantaran dilakukan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Benih-benih tersebut kemudiannya ditanam secara rahsia di kawasan rumah kediaman mereka. Dadah ganja yang dihasilkan dari pokok ganja tersebut dijual di sekitar Miri dengan harga RM100 untuk 100 gram.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 14 September hingga 21 September 2024 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Mancha berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 6B dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seksyen 6B memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam sebatan bagi kesalahan menanam dan memiliki pokok ganja.
“Selain itu, Seksyen 39B memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sekiranya tidak dihukum mati, hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan bagi kesalahan mengedar dadah,” katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus bertekad memerangi dadah, yang dianggap sebagai musuh nombor satu negara, dan menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.