DARO: Penduduk Pulau Bruit yang sudah lama berdepan masalah bekalan air bersih kini boleh menarik nafas lega apabila Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek bernilai lebih RM60 juta ini bakal menamatkan masalah yang telah lama membelenggu penduduk di kawasan tersebut.
Menurutnya, projek ini berupaya membekalkan lebih daripada lima juta liter air sehari (JLH) kepada penduduk di kawasan kampung-kampung di Pulau Bruit apabila siap kelak.
“Diharap menjelang akhir tahun ini, bekalan air sebanyak lima JLH ini dapat disalurkan kepada penduduk Pulau Bruit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Pesta Pulau Bruit 2024 di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Kampung Semop dekat sini, hari ini.
Abang Johari berkata projek tersebut telah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
“Ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan asas kepada penduduk tempatan serta menyokong peningkatan populasi di Pulau Bruit,”katanya.
Sebelum ini, penduduk di kawasan utara Pulau Bruit seperti Kampung Penipah, Kampung Tekajung, dan Kampung Bruit sering mengalami gangguan bekalan air disebabkan kekurangan air terawat.
Oleh TARANI LANTING