TATAU: Tiffany Cassandra dinobatkan sebagai Ratu Etnik Pesta Tatau 2024 dalam acara yang diadakan di Pentas Utama Pesta Tatau, Taman Komuniti Sungai Jatan.
Tiffany, 22, yang berasal dari Sibu dan kini menetap di Bintulu, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Pelancongan.
Ini merupakan pencapaian penting baginya yang sebelum ini memenangi gelaran Ratu Kebangsaan Sarawak 2023 dan kini bekerja sebagai ‘beautician’.
Dalam pertandingan itu, Tiffany yang berdarah kacukan Iban, Cina, dan Filipina berjaya mengatasi tujuh peserta lain.
Tiffany membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,500, sebuah tiara, kalungan bunga, piala, selempang, dan sijil.
Naib Johan pula disandang oleh Nur Zureyha Zurhaidi manakala tempat ketiga diraih oleh Angeline Johnatan yang turut memenangi anugerah Persembahan Terbaik malam tadi.
Hadiah disampaikan oleh Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Raden Azamry, dengan tiara dipasang oleh Johan Ratu Etnik Pesta Tatau 2023, Vivian Kuan.
Anugerah Miss Congeniality dimenangi oleh Janet Sre James yang membawa pulang wang tunai RM250.
Turut hadir, Pemanca Gerosen Jubin, Pengetua SMK Tatau, Dr. Layang Ugek, dan Penolong Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Long Jok.
Pesta Tatau 2024 menyajikan pelbagai program menarik seperti Ratu Etnik, Niti Daun, Regata Tatau, serta persembahan kebudayaan yang menonjolkan adat dan tradisi masyarakat berbilang kaum di daerah Tatau.
Acara malam itu juga dimeriahkan dengan persembahan oleh artis jemputan, Karen Libau, menjadikannya sebagai simbol kebanggaan masyarakat setempat dalam mempromosikan dan melestarikan budaya etnik di Sarawak.