SRI AMAN: Penyertaan pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dalam aktiviti penanaman kelapa sawit melalui pengusahaan secara usaha sama dengan syarikat perladangan boleh mengubah taraf hidup.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tindakan itu penting agar usaha sama itu dapat memberikan hasil kepada pemilik tanah NCR.
“Melalui pengusahaan secara usaha sama ini, penduduk berpeluang menikmati dividen yang diagihkan oleh syarikat perladangan itu jika mereka menjadi peserta untuk mengusahakan tanah NCR secara usaha sama.
“Contoh ini dapat kita lihat apabila syarikat SOP Pelita Batu Lintang Plantation Sdn Bhd dekat sini berjaya berkongsi hasil dengan pesertanya melalui bentuk pemberian dividen sebanyak RM743,388 bagi penggal pertama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan majlis agihan Dividen dan Penyerahan Surat Pengesahan Penyertaan Projek, Anugerah Pelajar Cemerlang serta Program Bantuan Anak Angkat untuk Projek Pembangunan Tanah Hak Adat Kawasan Ulu Undop, Sri Aman di sini, kelmarin.
Selain itu, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menggalakkan penduduk untuk menyertai aktiviti seumpama ini meskipun mereka memiliki tanah NCR yang sedikit.
“Ia lebih baik daripada membiarkan tanah NCR itu tidak diusahakan langsung. Justeru, usahakanlah tanah NCR anda dalam pelbagai cara selagi ia boleh memberikan pulangan pendapatan kepada keluarga masing-masing,” katanya.
Terdahulu, seramai 213 peserta telah menerima Surat Pengesahan Penyertaan Projek bagi tanaman kelapa sawit di bawah SOP Pelita Batu Lintang Plantation manakala 15 pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 pula menerima insentif pelajar cemerlang.
Bagi Bantuan Program Anak Angkat, 30 individu daripada keluarga peserta projek untuk 2024 telah menerima peralatan berupa beg galas, alat tulis dan wang tunai berjumlah RM90 di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.
Hadir sama, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman Michaelson Nyisin, Plantation Controller, SOP Pelita Batu Lintang Plantation Sdn Bhd Jimbau Tumbai dan Pengurus Bahagian Selatan, LCDA Agri Business Sdn Bhd Benjamin Kudang.
Turut serta, wakil SUT M-Ficord Sarawak Dorothy Entik Rolf Kassim, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan dan Pengerusi ADC Ulu Undop Penghulu Mingging Sigan.
Oleh Valentine Ngumbang