KUCHING: Belanjawan 2025 perlu menitikberatkan pemerkasaan kempen kesedaran bagi mengekang isu perkahwinan bawah umur selain memastikan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini terus diberi perhatian.
Seorang para kaunselor di Pertubuhan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) Dayang Nurhannyfah Abang Mohamad Adawi (gambar) berkata isu perkahwinan bawah umur di Sarawak perlu ditangani segera susulan merekodkan jumlah tertinggi perkahwinan bawah umur iaitu 1,638 individu dari 2017 hingga 2020.
“Jadi ini membimbangkan untuk generasi seterusnya… kerajaan perlu tingkatkan penganjuran kempen kesedaran mengenai perkahwinan bawah umur dan permasalahan sosial di sekolah kerana ada dalam kalangan mereka tidak peka terhadap isu ini.
“Dengan kehadiran media sosial, ia mengakibatkan mereka terpengaruh dengan ideologi barat hingga melakukan pergaulan bebas dan tidak mengendahkan bahagian tubuh badan yang boleh serta tidak boleh disentuh orang lain,” katanya kepada Bernama.
Dayang Nurhannyfah berharap kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus giat bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membanteras isu berkaitan golongan wanita antaranya penderaan domestik dan gangguan seksual di tempat kerja.
Pengurus pusat Wishesland, sebuah NGO bagi pesakit palsi serebrum, Agnes Winnie berkata kerajaan perlu menyediakan bantuan khusus untuk golongan OKU sedemikian melangkah ke alam pekerjaan, seterusnya hidup berdikari.
Beliau berkata kesedaran orang awam terutama golongan muda mengenai palsi serebrum melibatkan kerosakan otak atau otot juga seharusnya diperluas memandangkan masih ramai yang kurang memahami bantuan khas diperlukan oleh pesakit.
“Pesakit celebral palsy (palsi serebrum) memerlukan pertolongan berpanjangan terutama dalam kalangan dewasa dan remaja kerana mereka akan mula bekerja atau mencari rezeki sendiri.
“Belanjawan tahun depan diharapkan kerajaan dapat menyediakan peruntukan atau program khas di pusat latihan celebral palsy kerana kerana pesakit memerlukan tempat latihan yang tersendiri,” katanya yang berkhidmat di Wishesland selama 12 tahun.
Winnie berharap syarikat di negara ini akan turut memainkan peranan dalam menyediakan pekerjaan kepada pesakit palsi serebrum berkebolehan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pada 18 Okt depan di Dewan Rakyat.– BERNAMA