SIMANGGANG: Penganjuran Regata Benak Batang Lupar yang berlangsung pada 15 hingga 17 November nanti bakal menawarkan habuan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM147,770 kepada pemenang dalam pelbagai acara nanti.
Daripada jumlah itu, hadiah wang tunai RM25,000 disediakan untuk pasukan yang berjaya mendominasi kategori utama iaitu perahu bidar 30 pekayuh akhir bagi penentu gelaran ‘Raja Sungai’ Regata Benak Batang Lupar.
Menurut jurucakap jawatankuasa penganjur, beberapa kategori dipertandingkan untuk Regata Benak Batang Lupar iaitu bermula dari kategori perahu bidar 8, 10, 15 (lelaki dan wanita), bidar 20, 25 termasuk 30 (Raja Sungai) dan Unlimited Marathon 30 bidar.
Turut diadakan ialah acara pecut bidar 10, 15, 20, 25 dan 30 bidar bagi merebut gelaran ‘Raja Pecut’ Regata Benak Batang Lupar. Selain itu, acara luncur benak turut diadakan.
“Pihak kita berterima kasih kepada penganjur kerana telah bersetuju menaikkan hadiah utama wang tunai daripada RM12,000 kepada RM25,000 untuk edisi kali ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Borang penyertaan akan mula dijual pada 1 Oktober ini dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 6 November depan, pada atau sebelum 9 pagi.
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung penyertaan tersebut, boleh menghubungi Urusetia Jawatankuasa Teknikal Regata Benak Batang Lupar 2024, Awang Irwandy Awnag Yaman di talian 010-8226004.
Terdahulu, sasaran seramai 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri bakal membanjiri Bandar Simanggang pada penganjuran Pesta Benak 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula 15 hingga 17 November 2024 nanti.
Menurut Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, pemilihan tarikh tersebut adalah bertepatan disebabkan air pasang besar pada paras 6.2 hingga 6.4 meter berdasarkan rekod kalendar negeri.
Katanya, majlis perasmian Pesta Benak 2024 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 16 November (Sabtu) jam 10.30 pagi di Pentas Utama Pesta Benak.
Majlis penutupan Pesta Benak 2024 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 17 November (Ahad) jam 10.30 pagi.
Oleh ADI SAFARMAN