TEBEDU:Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan barangan terkawal bernilai lebih RM10, 000 di sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Tebedu, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.
Rondaan dibuat dalam operasi yang dikenali sebagai Operasi Awas dan Keris Parang, semalam.
Menurut kenyataan media Markas 1 Divisyen, cubaan penyeludupan itu dikesan sekitar jam 5 petang setelah pihak TDM menerima maklumat daripada orang awam dan penduduk tempatan mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan laluan haram, hanya 100 meter dari sempadan.
Katanya, orang awam melaporkan terdapat aktiviti pemunggahan barangan dalam bungkusan plastik hitam di lokasi berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, anggota TDM bersama dengan pasukan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) segera melaksanakan rondaan di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa bungkusan plastik hitam yang mengandungi barangan runcit terkawal telah ditinggalkan di sepanjang laluan haram dan dibawah pokok di sekitar kawasan terbabit.
“Antara barangan yang ditemui ialah 37 kotak daging jenama Allana, 72 paket gula jenama PRAI, dan 10 kampit beras tempatan jenama Super White,” katanya.
Kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai RM10,402.
Dalam pada itu, kenyataan sama juga memaklumkan, hasil pemeriksaan lanjut, mengesahkan tiada barangan terlarang atau berbahaya dijumpai di lokasi kejadian.
Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tebedu, dan semua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam Stesen Tebedu untuk tindakan lanjut.
Panglima 1 Divisyen,Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota yang terlibat dalam operasi tersebut dalam kenyataan sama.
Beliau menegaskan komitmen Tentera Darat Malaysia untuk terus memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), aktiviti penyeludupan, serta jenayah rentas sempadan.
Gambar
BARANG RAMPASAN… Anggota TDM dan TNI-AD menunjukkan barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM10,402.