SARIKEI: Sebuah kedai makan tingkat bawah di Lorong 1A2, Jalan Rentap di sini musnah sebanyak 60 peratus akibat kebakaran petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.33 petang.
“Saya bersama sepasukan bomba yang diketuai oleh komander operasi PBK I (KUP) Bakar Ujang bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kedai makan tingkat bawah (corner),” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pasukan bomba segera bertindak mengawal dan memadam kebakaran daripada terus merebak.
“Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh lebih kurang lapan minit.
“Setelah operasi pemadaman terkawal, pemeriksaan dan pemantauan secara teliti telah dilakukan bagi memastikan bara api padam sepenuhnya di lokasi kejadian.
“Operasi memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 7.09 malam.
“Turut berada di lokasi adalah lima anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei dan dua orang kakitangan Sarawak Energy Berhad,” katanya.
Oleh Earl Anek
Gambar
PADAM KEBAKARAN….Pasukan bomba memadamkan kebakaran kedai makan di Lorong 1A2, Jalan Rentap. Foto BBP Sarikei