PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Wanita pada Kemuncak Media Asia (AMS) malam tadi.
Anugerah disampaikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut menyampaikan anugerah sama kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Awam Thailand, Sudruetai Lertkasem sempena Majlis Makan Malam Gala dan Rundown Anugerah Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) di sini malam tadi.
Malaysia menganjurkan AMS tahun ini dengan AIBD sebagai urus setia.
Sementara itu, Fahmi turut menerima Anugerah Penghargaan atas usahanya dalam pembangunan media disampaikan Duta Khas AIBD untuk Pasifik, Timothy Masiu.
Anugerah lain termasuk Program TV Terbaik mengenai Keterangkuman untuk Semua, Meraikan Kepelbagaian, Program Radio Terbaik mengenai Membina Jambatan Budaya dan Anugerah Teknologi untuk Penyiaran Kebolehcapaian.
Dihadiri pemain dan pihak berkepentingan dalam industri media dalam dan luar rantau, AMS menyediakan platform untuk dialog antara kerajaan bagi meningkatkan penanda aras industri media serantau.- Bernama.
Gambar
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.