MIRI: Seorang wanita dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung menjalar di tingkap rumahnya di Kampung Masjid Kuala Baram di sini pagi tadi ketika sibuk mengemas rumah.
Cemas melihat ular itu, memaksa wanita berusia 32 tahun itu segera menghubungi talian kecemasan meminta bantuan.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Miri, pihaknya menerima panggilan pada 9.21 pagi meminta bantuan untuk menangkap ular berbisa itu.
“Sebaik menerima panggilan itu, sepasukan empat anggota APM digerakkan ke lokasi.
“Pengadu mengatakan terdengar bunyi pelik dan mendapati ada seekor ular berada tepi tingkap ketika dia sedang mengemas rumah,” katanya di sini.
Katanya, pasukan APM mengambil masa sekitar 11 minit untuk menangkap ular tedung sepanjang satu meter itu.
“Ular tersebut kemudiannya dilepaskan ke habitat asalnya dan operasi tamat pada 10.15 pagi,” katanya.
Gambar
TANGKAP.. .Anggota APM Daerah Miri menangkap seekor ular tedung hitam di sebuah rumah di Kampung Masjid Kuala Baram, Miri, pagi tadi.